SIARAN MEDIA: SENARAI AKHIR 14 PEMAIN SKUAD FUTSAL HARIMAU MALAYA KE PIALA ASIA FUTSAL 2026 DI JAKARTA, INDONESIA
Berikut senarai akhir 14 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih futsal kebangsaan, Addie Azwan Zainal bagi membawa cabaran Malaysia pada saingan Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia bermula 27 Januari hingga 7 Februari 2026.
BIL | NAMA | UMUR | POSISI | PASUKAN |
1. | MOHD FIRDAUS AMBIAH | 35 | FIXO | JOHOR DARUL TA’ZIM |
2. | MOHAMAD DANIAL ABDUL DAIN | 30 | ALA | JOHOR DARUL TA’ZIM |
3. | MUHAMMAD SAAD ABDUL SANI | 28 | ALA | JOHOR DARUL TA’ZIM |
4. | MOHD RIDZWAN BAKRI | 32 | ALA | JOHOR DARUL TA’ZIM |
5. | MOHAMAD AWALLUDDIN MAT NAWI | 28 | PIVOT | JOHOR DARUL TA’ZIM |
6. | MUHAMMAD EKMAL SHAHRIN | 26 | PIVOT | JOHOR DARUL TA’ZIM |
7. | MUHAMMAD SYAIFUDDIN SYUKRI IBRAHIM LINCOLN | 34 | GK | SELANGOR FC |
8. | MUHAMMAD SYAWAL SABARUDDIN | 29 | GK | SELANGOR FC |
9. | MUHAMMAD FARIS MOHD JOHAN | 26 | ALA | SELANGOR FC |
10. | MOHD KHAIRUL EFFENDY MOHD BAHRIN | 39 | ALA | SELANGOR FC |
11. | MUHAMMAD AIDIL ZAKWAN ZAIDI | 19 | FIXO | SELANGOR FC |
12. | AHMAD HARITH NA’IM NASIR | 26 | FIXO | PAHANG RANGERS FC |
13. | MUHAMAD NORAKMAL NORIZAL | 22 | ALA | PAHANG RANGERS FC |
14. | SYED SHAHRUL NIEZAM SYED ABDUL RAHIM | 27 | UNIVERSAL | TERENGGANU FC |
Addie Azwan, 46, yang menggantikan Rakphol Sainetngam telah mengekalkan 11 daripada 14 pemain yang membawa Malaysia meraih pingat gangsa acara Futsal Lelaki pada Sukan SEA 2025 di Nonthaburi, Thailand pada Disember lalu.
Tiga pemain yang tidak tersenarai kali ini ialah penjaga gol, Zainulzahin Sinuan, Razin Rahim dan Syahir Iqbal Khan Akbar Khan yang mengalami kecederaan lutut ACL.
Sebagai ganti, tiga pemain baharu disenaraikan iaitu penjaga gol, Syawal Sabaruddin, Norakmal Norizal dan Aidil Zakwan Zaidi, pemain muda dari skuad yang meraih tempat ketiga Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 di Nonthaburi, Thailand pada Disember lalu.
Bagi barisan kejurulatihan skuad futsal kebangsaan ke Piala Asia Futsal 2026 ini, Addie Azwan akan dibantu oleh penolong ketua jurulatih, Muizuddin Haris dan jurulatih penjaga gol, Firdaus Razali manakala Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Rafiuddin Gulistan menggalas tugas sebagai Pengurus Pasukan.
Piala Asia Futsal 2026 menampilkan 16 pasukan terbaik Asia yang dibahagikan kepada empat kumpulan yang mana setiap kumpulan dibarisi empat pasukan dan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D.
Skuad futsal Harimau Malaya bakal beraksi dua perlawanan Kumpulan D di Jakarta International Velodrome iaitu menentang Iran pada Rabu, 28 Januari (5.00 petang waktu Indonesia, 6.00 petang waktu Malaysia) dan Afghanistan pada Jumaat, 30 Januari (5.00 petang waktu Indonesia, 6.00 petang waktu Malaysia), sebelum turun menentang Arab Saudi di Indonesia Arena pada Ahad, 1 Februari 2026 (7.00 malam waktu Indonesia, 8.00 malam waktu Malaysia).
Jika berjaya menduduki dua tangga teratas Kumpulan D, lawan di suku akhir ialah bertemu dua pasukan teratas Kumpulan C (Jepun, Uzbekistan, Tajikistan atau Australia) pada Selasa, 3 Februari, disusuli aksi separuh akhir pada Khamis, 5 Februari dan final pada Sabtu, 7 Februari 2026.
Sebagai rekod, skuad futsal Harimau Malaya gagal layak ke dua edisi Piala Asia Futsal sebelum ini iaitu di Kuwait pada 2022 dan di Thailand pada 2024. Dalam 12 penampilan di pentas Piala Asia Futsal sejak tahun 1999 pula, Malaysia hanya sekadar beraksi di peringkat kumpulan dan belum pernah berjaya layak ke peringkat suku akhir.
- Siaran media ini dikeluarkan pada Ahad, 25 Januari 2026
