FINAL PIALA BELIA 2018: PKNS FC MENGALAHKAN TERENGGANU FC IV UNTUK MUNCUL JUARA
2018-08-28
PKNS FC berjaya menewaskan Terengganu FC IV dalam perlawanan akhir Piala Belia 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam untuk muncul sebagai juara bagi kejohanan bawah 19 tahun kebangsaan itu.
Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan aksi rancak tetapi buntu mencipta gol. Walau bagaimanapun, PKNS FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila berjaya mendapatkan gol pendahuluan di lewat babak pertama menerusi penyerang, Asraff Aliffuddin.
Tidak mudah patah semangat, Terengganu FC IV bangkit di awal babak kedua. Tekanan yang diberikan Terengganu FC IV terhadap pasukan PKNS FC membuahkan hasil apabila mereka memperoleh gol penyamaan 1-1 melalui kapten, Tuan Ahmad Muqris seawal minit ke-52.
Kebangkitan skuad muda dari pantai timur itu bagaimanapun hanya bertahan seketika apabila PKNS FC berjaya merobek gawang gol mereka sekali lagi menerusi Asraff Aliffuddin. Kedududukan 2-1 itu kekal hingga tamat perlawanan sekaligus membolehkan PKNS FC muncul selaku juara tahun ini.
Terengganu FC IV merupakan pasukan yang menjadi pilihan juara berdasarkan rekod tanpa kalah mereka sebelum ini. Ketua Jurulatih, Subri Sulong mengakui pasukannya melakukan kesilapan mudah sehingga dibolosi dua jaringan. Tambahnya, kecederaan serta penggantungan beberapa tonggak utamanya juga antara punca kekalahan pasukannya di final.
Jurulatih PKNS FC , Muhamad Azrin pula begitu gembira dengan kejayaan dikecapi ditambah pula pasukannya lebih berstatus underdog.
Mengimbau laluan PKNS FC untuk bergelar juara Piala Belia 2018, mereka menduduki tangga keempat Kumpulan A di belakang Terengganu FC IV yang berada di tangga teratas kumpulan itu. Seterusnya, PKNS FC mula menunjukkan taring apabila menyingkirkan pasukan teratas Kumpulan B, Negeri Sembilan di suku akhir sebelum menjadikan juara bertahan, Kedah sebagai mangsa di separuh akhir.
Selaku juara, PKNS membawa pulang piala pusingan dan mok cek bernilai RM80,000. Selaku naib juara, Terengganu FC IV pulang dengan menerima RM50,000 mok cek.