SIARAN MEDIA: KONGRES FAM LULUS PELANTIKAN TAN SRI HAMIDIN SEBAGAI PRESIDEN KEHORMAT FAM
1. Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bersidang pada Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025 pada Isnin, 30 Jun 2025 telah meluluskan pelantikan mantan Presiden FAM, Tan Sri Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat FAM.
2. Pelantikan Tan Sri Hamidin sebagai Presiden Kehormat FAM adalah berdasarkan kredibiliti, pengalaman serta sumbangan besar beliau terhadap pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa selama lebih 30 tahun.
3. Artikel 22 Statut FAM memperuntukkan bahawa Kongres FAM boleh menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM atau Ahli Kehormat FAM kepada mana-mana individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan bola sepak.
4. Bagi gelaran Presiden Kehormat FAM, individu berkenaan pernah memegang jawatan Presiden FAM manakala bagi Ahli Kehormat FAM, individu berkenaan pernah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM.
5. Gelaran ini diberikan atas penamaan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM, dan individu tersebut boleh menghadiri Kongres FAM serta menyertai perbahasan, namun tidak mempunyai hak untuk mengundi.
6. Sebagai rekod, Kongres FAM pada tahun 2014 telah menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM kepada Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi sebagai Presiden FAM selama 3 dekad, dari tahun 1984 hingga 2014. Anugerah ini merupakan penghormatan tertinggi FAM kepada Almarhum atas sumbangan besar baginda dalam memperkukuh institusi bola sepak tanah air. Al-marhum Baginda telah mangkat pada tahun 2019, menutup tirai kepimpinan yang penuh jasa dalam sejarah bola sepak kebangsaan.
7. Peranan dan Tanggungjawab Presiden Kehormat FAM.
Sebagai individu yang dianugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM oleh Kongres FAM berdasarkan sumbangan cemerlang dalam arena bola sepak tanah air, penerima gelaran ini diberikan tanggungjawab dan peranan tertentu yang menyokong struktur tadbir urus FAM. Antara peranan dan tanggungjawab tersebut adalah seperti berikut:
a) Memberi Nasihat kepada Badan-badan Utama FAM
Presiden Kehormat FAM bertindak sebagai penasihat berpengalaman kepada Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Tetap, Ahli Gabungan serta Sekretariat Agung FAM. Dalam kapasiti ini, beliau boleh memberi pandangan strategik dan nasihat berasaskan pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Peranan ini amat penting bagi memastikan kesinambungan dasar, penambahbaikan operasi serta pengukuhan tadbir urus dalam semua aspek pentadbiran FAM.
b) Menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Tetap FAM
Presiden Kehormat FAM boleh diundang untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif serta Jawatankuasa Tetap FAM menerusi jemputan rasmi daripada pihak pengurusan FAM. Kehadiran beliau adalah sebagai tokoh penasihat yang dihormati, dengan peranan menyumbang pandangan, nasihat dan input strategik berasaskan pengalaman luas dalam tadbir urus bola sepak. Seiring dengan ketetapan Statut FAM, Presiden Kehormat FAM tidak mempunyai hak mengundi dalam sebarang perkara yang dibincangkan atau diputuskan, namun penglibatan beliau tetap dianggap sebagai nilai yang signifikan dalam memperkukuh perbincangan dan hala tuju organisasi.
c) Bertindak sebagai Duta Rasmi FAM
Presiden Kehormat FAM juga berperanan sebagai wakil atau duta rasmi FAM, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Beliau boleh mewakili FAM dalam pelbagai acara rasmi, persidangan, seminar, pertemuan diplomatik sukan dan majlis pelancaran inisiatif atau projek FAM. Peranan ini bertujuan mengukuhkan imej serta kredibiliti FAM di peringkat global, selain membina jaringan strategik dengan badan-badan sukan antarabangsa termasuk Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
d) Melaksanakan Peranan Tambahan Mengikut Keperluan dan Persetujuan Jawatankuasa Eksekutif FAM
Selain daripada peranan utama yang telah digariskan, Presiden Kehormat FAM juga boleh diberikan tugas atau tanggungjawab tambahan yang bersesuaian, bergantung kepada keperluan semasa dan setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa Eksekutif FAM.
8. Sebagai permulaan proses pelantikan ini, Jawatankuasa Eksekutif FAM menerusi mesyuarat kali ketiga bagi penggal 2025–2029 yang diadakan pada 12 Jun 2025 telah sebulat suara mencadangkan pelantikan Tan Sri Hamidin sebagai Presiden Kehormat FAM. Ia seterusnya dibawa ke Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025 pada hari ini untuk diluluskan.
9. Justifikasi pelantikan Tan Sri Hamidin sebagai Presiden Kehormat dibuat berdasarkan latar belakang kepimpinan, penglibatan di peringkat serantau dan antarabangsa, inisiatif dan rekod pencapaian, pengiktirafan dan anugerah antarabangsa serta sumbangan di luar arena bola sepak.
10. Latar Belakang Kepimpinan
Tan Sri Hamidin merupakan figura kepimpinan yang telah menempuh perjalanan kerjaya yang berstruktur, progresif dan konsisten dalam hierarki bola sepak kebangsaan. Sejak penglibatan awal beliau pada pertengahan 1990-an, beliau telah memegang pelbagai jawatan strategik yang mencerminkan kematangan, ketokohan dan visi kepimpinan beliau dalam pelbagai kapasiti telah membentuk asas kukuh bagi pembangunan bola sepak Malaysia. Beliau telah menerajui FAM sebagai Presiden selama dua penggal bermula dari 14 Julai 2018 hingga 15 Februari 2025. Antara jawatan penting yang pernah disandang sebelum itu ialah:
Setiausaha Eksekutif, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) (1995–1998)
Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) (1998–2013)
Ahli Jawatankuasa, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) (1995–2010)
Naib Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) (2010–2013)
Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) (2013–2018)
Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) (2018–2025)
11. Penglibatan di Peringkat Serantau dan Antarabangsa
Selain memainkan peranan penting di peringkat nasional, Tan Sri Hamidin turut menyandang beberapa jawatan strategik dalam organisasi bola sepak serantau dan antarabangsa, termasuk:
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) (2019–2027).
Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) (2022–2026).
Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) (2023–2027).
Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC (2023–2027)
Keterlibatan beliau dalam badan-badan induk ini telah mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa dan memberi kelebihan strategik kepada FAM dalam pelbagai aspek pentadbiran, pembangunan dan diplomasi sukan.
12. Inisiatif dan Rekod Pencapaian
Tan Sri Hamidin telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat jangka panjang kepada ekosistem bola sepak negara, antara rekod pencapaian beliau adalah:
Pasukan Selangor memenangi 18 kejuaraan termasuk lima kali juara Piala Malaysia, empat kali juara Piala FA dan dua kali juara Liga Super (semasa beliau menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung FAS).
Skuad futsal kebangsaan meraih pingat perak Sukan SEA 2007 di Thailand (sebagai pengurus pasukan).
Skuad bola sepak B-23 kebangsaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia (sebagai pengurus pasukan).
Naib juara Piala Suzuki AFF 2014 (sebagai penolong pengurus pasukan).
Juara Kejohanan B-19 AFF 2018 di Indonesia.
Naib juara Piala Suzuki AFF 2018.
Juara Kejohanan B-16 AFF 2019 di Thailand.
Juara Kejohanan B-19 AFF 2022 di Indonesia.
Layak secara merit ke Piala Asia 2023 di Doha, Qatar (selepas 43 tahun).
Naib juara Pestabola Merdeka 2023.
Juara Pestabola Merdeka 2024.
Memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA (dari 178 ke 131).
Pelancaran Peta Hala Tuju F:30 pada 31 Oktober 2018 merangkumi tiga pelan strategik - fasa pertama dari 2019-2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur; fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia dan fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan pasukan kebangsaan bertaraf dunia.
Pelancaran Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) pada 12 November 2018 selaras dengan Peta Hala Tuju F:30 yang bertujuan memperkasakan ahli gabungan FAM.
Pelancaran Piagam Akar Umbi yang dinamakan Suparimau FAM pada 4 Mei 2019 dalam merangka proses pentauliahan kepada akademi dan kelab rekreasi swasta di peringkat akar umbi, bertujuan memastikan FAM mengenal pasti standard mereka menerusi penggredan.
Pelancaran DNA Bola Sepak Malaysia atau Cara Malaysia pada 9 Julai 2019 bertujuan sebagai rujukan untuk semua pihak memahami corak permainan mengikut falsafah bola sepak negara.
Pembinaan bangunan baharu Wisma FAM di Presint 5, Putrajaya.
Pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya.
Memeterai lanjutan perjanjian kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad pada 2013.
Memeterai perjanjian dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai rakan penaja utama FAM dan rakan penerbangan rasmi pasukan kebangsaan pada 2024.
Penerima Anugerah Ikon Kepimpinan dalam Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro pada Januari 2023.
13. Pengiktirafan dan Anugerah Antarabangsa
Sumbangan Tan Sri Hamidin turut mendapat pengiktirafan daripada badan-badan bola sepak antarabangsa, antaranya:
Anugerah Emas Dream Asia AFC 2018 bagi kategori Pembangunan.
Anugerah Gangsa Dream Asia AFC 2019 bagi kategori Inspirasi.
Anugerah Kejurulatihan Konvensyen AFC Pro Level (2023).
Penarafan Lima Bintang oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) selama lima tahun berturut-turut (2018–2022).
Anugerah Khas Grassroots AFC - Liga Suparimau.
Keahlian Gangsa Piagam Akar Umbi AFC 2018.
Pengiktirafan ini mencerminkan tahap komitmen dan keberkesanan kepimpinan beliau dalam melaksanakan pembaharuan dan pembangunan berstruktur di peringkat kebangsaan.
14. Sumbangan di Luar Arena Bola Sepak
Di luar bidang bola sepak, Tan Sri Hamidin turut diberi kepercayaan untuk memegang jawatan penting dalam pentadbiran sukan negara, termasuk:
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) (2021–2025).
Chef de Mission (CDM) bagi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelantikan ini mencerminkan keyakinan masyarakat sukan Malaysia terhadap kebolehan beliau dalam menerajui dan mewakili negara di pentas tertinggi dunia.
15. Dalam pada itu, Kongres FAM turut meluluskan pelantikan pengerusi, timbalan pengerusi dan ahli bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Bebas FAM bagi Penggal 2025-2029 mengikut Artikel 65 (4), Artikel 66 (3) dan Artikel 67 (6) dalam Statut FAM.
a) Jawatankuasa Audit dan Pematuhan FAM
Pengerusi: Encik Khairul Bin Kamarudin
Timbalan Pengerusi: Encik Mujibburahman Bin Abd Rashid
b) Jawatankuasa Tatatertib FAM
Pengerusi: YBhg. Datuk Dr. Baljit Singh A/L Balwant Singh
Timbalan Pengerusi: Datuk Che Mokhtar Bin Che Ali
c) Jawatankuasa Rayuan FAM
Pengerusi: YDH CP (B) Dato’ Sri Mohd Mokhtar Bin Mohd Sharif
Timbalan Pengerusi: Encik C P Mahendran A/L Ponniah
d) Jawatankuasa Pemilihan FAM
Pengerusi: YBhg. Profesor Dato’ Dr. Abdullah Bin Mohamad Said
e) Jawatankuasa Rayuan Pemilihan FAM
Pengerusi: Puan Sharen Ram Singh@Bachan Singh
f) Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC)
Pengerusi: YBhg. Dato’ Dr. Abd Shukor Bin Ahmad
Timbalan Pengerusi: YBhg. Dato' Mohd Aimi Zaini Bin Mohd Azhar
g) Majlis Rayuan Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRAC)
Pengerusi: Encik Shahrizal Hisham Bin Abdul Halim
Timbalan Pengerusi: Encik Yogananthan A Paramasivam
Siaran media ini dikeluarkan pada Isnin, 30 Jun 2025