SIARAN MEDIA: JAWATANKUASA TATATERTIB & ETIKA AFC JATUH HUKUM DUA PERLAWANAN KELAYAKAN PIALA ASIA 2027 SKUAD HARIMAU MALAYA DIISYTIHAR KALAH 3-0
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bersidang pada Selasa, 17 Mac 2026 berkaitan kes menurunkan pemain yang tidak layak.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC, Jahangir Baglari itu mendapati bahawa FAM telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 berikut:
1- Malaysia lwn Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 2-0; dan
2- Malaysia lwn Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 4-0.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan tersebut berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika AFC.
Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119).
FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini.
- Siaran media ini dikeluarkan pada Selasa, 17 Mac 2026
